Jumaat, September 25, 2009

Galakan Berpuasa 6 Hari Pada Bulan Syawal

1. Apakah fadhilat puasa enam hari bulan Syawal?

Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :

" Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :


"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).


Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran.

Sabda Rasulullah saw,

Yang bermaksud, "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, keluar (dihapus) dosanya seolah-olah dia baru dilahirkan oleh ibunya.

2. Seseorang mukmin yang mengqada'kan puasa fardhu dalam bulan Syawal untuk tujuan dapat fadhilat puasa enam hari dalam bulan Syawal, bagaimana pandangan Islam tentang perkara ini?

Bagi sesiapa yang mengqada'kan puasa fardhu dalam bulan Syawal akan mendapat puasa enam hari dalam bulan Syawal sekalipun dengan niat qada' sahaja. Sekiranya dia berniat qada' berasingan dengan niat puasa enam hari bulan Syawal itu adalah Afdhal.


Hal ini ditasybihkan dengan pendapat tentang solat sunat Tahiyyat al-Masjid. Seseorang itu memperolehinya sama ada dengan solat fardhu atau solat sunat yang lain sekalipun tidak berniat solat Tahiyyat al-Masjid Tahiyyat al-Masjid.

3. Seseorang muslim yang sedang berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal pada waktu yang sama dia meraikan Aidil Fitri (ziarah atas undangan atau menyambut tetamu) dalam keadaan dirinya berpuasa, bagaimana penyelesaian yang Islam anjurkan untuk dua keadaan ini?

Sebagai maklumat awal:

• i. Haram berpuasa pada awal Syawal. Sehubungan dengan itu, kebanyakan orang mengambil peluang pada hari tersebut untuk memenuhi undangan dan berziarah.

• ii. Puasa sunat enam hari bulan Syawal boleh dilakukan secara berturut-turut atau berasingan dalam bulan Syawal.

• iii. Ia merupakan puasa sunat dan bukannya wajib.

• iv. Bagi seorang isteri perlu mendapatkan keizinan daripada suaminya.


Sekiranya dia didatangi tetamu hendaklah dia meraikan tetamunya. Sunat dia berbuka puasa sunat tersebut. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah,

Yang bermaksud, Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Qiamat maka muliakanlah tetamunya.

Ini kerana tetamu yang datang membawa rezeki kepada tuan rumah. Sabda Rasulullah,


Yang bermaksud, Wahai manusia! Janganlah kamu membenci kehadiran tetamu. Sesungguhnya mereka datang membawa rezeki dan apabila keluar (pulang) membawa dosa ahli rumah tersebut keluar.

Selasa, September 22, 2009

Rumah Terbuka Aidilfitri 1430H

Tarikh : 22 September 2009
Masa : 12 - 4 p.m
Tuan Rumah : Ustaz Azmi bin Abdul Rahman
Lokasi : Taman Teh dekat SMK Sandakan

Tarikh : 23 September 2009
Masa : 12 - 4 p.m
Tuan Rumah : Cg. Nik Aznan Shahrin
Lokasi : Taman Indah

Tarikh : 23 September 2009
Masa : 12 - 4 p.m
Tuan Rumah : Dato Bung Mukhtar Radin
Lokasi : Taman Rekreasi ,Taman Indah

Semua dijemput hadir

Jumaat, September 18, 2009

Amalan Yang Digalakkan & Kesilapan di Hari Raya

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".


2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalahhu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabballahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.



RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.


7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.


Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.


Selamat Hari Raya Idil Fitri


"Taqabballahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"

Kredit to coretanfisabilillah.blogspot

Isnin, September 14, 2009

Cara Menyambut Hari Raya Menurut Islam

Sejarah hari perayaan sebenarnya telah bermula sebelum kedatangan Islam.
Ketika Madinah Al-Munawarrah bernama Yathrib, ia sudah menyambut perayaan.

Menurut Anas ra, tatkala Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, Baginda telah menukarkan dua perayaan dengan dua perayaan yang jauh lebih baik, iaitu Aidilfitri (Hari Raya Puasa) dan Aidiladha (Hari Raya Haji atau Korban).

BAGAIMANA BAGINDA MERAIKAN AIDILFITRI?

1. BERSOLAT HARI RAYA SECARA BERJAMAAH Rasulullah saw sentiasa melaksanakan solat hari raya secara berjemaah di padang atau lapangan terbuka.
Ini akan memberi kemudahan dan kesempatan kepada kaum wanita yang tidak dapat menunaikan solat hari raya kerana uzur untuk mendengar pesanan dan nasihat Rasulullah saw yang disampaikan melalui khutbah hari raya.

2. PERGI DAN BALIK DARI TEMPAT SOLAT MELALUI JALAN BERBEZA. Tatkala pergi dan balik dari tempat solat hari raya, Rasulullah sentiasa pergi dan balik melalui jalan yang berlainan, menurut Jabir ra (Hadis riwayat Bukhari).
Apakah sebab Rasulullah berbuat demikian? Tujuan beliau tentulah dapat bertemu dengan lebih ramai orang yang berbeza. Baginda bersalam-salaman, memohon maaf zahir dan batin.

3. MEMBAWA ANAK ISTERI KE TEMPAT SOLAT HARI RAYA. Ketika melaksanakan solat hari raya, Rasulullah saw sentiasa membawa serta isteri dan anak-anaknya.

4. JAMAH MAKANAN SEBELUM KE MASJID. Ketika Ramadan berlalu dan Aidilfitri tiba, umat Islam telah kembali dibolehkan makan dan minum pada siang hari. Juga, kita tidak digalakkan memakan makanan yang pedas-pedas. Dari segi kesihatan, perut kita baru saja berehat dan tidak perlu disogokkan makanan yang tidak sesuai atau berlebihan. Mentelah, Rasulullah ada menegur sahabat yang berperut gendut (buncit atau gemuk).

5. BERPAKAIAN CANTIK UNTUK MENUNAIKAN SOLAT Rasulullah saw sentiasa berpakaian baru, kemas dan indah ketika melaksanakan sembahyang Aidilfitri. Sebelum itu, Baginda selalu mandi terlebih dahulu dan kemudian memakai sedikit wangi-wangian, menurut riwayat Ibnu Qayyim al-Jauziyah.

6, MEMBANYAKKAN BACAAN TAKBIR. Sejak malam hari Aidilfitri sehingga imam datang untuk memulakan solat pada hari raya, umat Islam disunatkan memperbanyak bacaan takbir.

7. BERBALAS SALAM. Apabila bertemu, para sahabat Rasulullah sentiasa memberi dan menjawab ucapan salam hari raya dengan berkata: Taqabbalallahu Minna wa Minkum (Semoga Allah menerima segala kebaikan kami dan kebaikan kamu). (Hadis riwayat Ahmad).

8. SAAT AKHIR SAAT FITRAH DAN SEDEKAH Zakat fitrah adalah suatu tanggungjawab sosial yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam sekali setahun pada bulan Ramadan.

Kelebihan Lailatul Qadar dan Tanda-tandanya

MALAM LAILATUL-QADAR
Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.
Maksudnya:
" Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya:
" Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta
mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada
dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:
Maksudnya:
" Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
" Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan
dalam malam ganjil. "


Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah:
Maksudnya:
" Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar
iaitu malam ke-27. "
Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya:
" Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam
yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati
malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:
Maksudnya:
" Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah
keampunan-Mu untukku. "

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Abi Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang artinya : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). - Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasa -

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang artinya : Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. - Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit -

3. Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram).

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.

Qadhi 'Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.


Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda lailatul qadar ialah :

a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.

b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.

c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.

d. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.

Petikan dari :
FIQH & Perundangan Islam Jilid II
Wahbah al-Zuhaili
Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rabu, September 09, 2009

Sejalur memori

Posted by Picasa

Kuliah Subuh 19 Ramadhan 1430H

Penceramah : Ust. Tuan Roslan
Lokasi : Surau Al-Fajr

Ulasan :
} Menyentuh tentang perintah Nabi S.A.W yang memerintahkan kita mencelup lalat yang jatuh di dalam minuman kita kerana sayap lalat mengandung racun dan penawar ( di kiri atau kanan ) barulah lalat itu dibuang dan air tersebut dapat diminum dengan selamat.
} Beberapa kajian sains membuktikan perkara ini

Wallahua'lam

Selasa, September 08, 2009

Twins






















Pasangan kembar emas
Posted by Picasa

Isnin, September 07, 2009

Kuliah Subuh 17 Ramadhan 1430H

Tempat : Surau Al-Fajr
Penceramah : Ust. Tuan Roslan

Tajuk : Mengenal ciri-ciri syaitan

Ulasan :

1. Syaitan mempunyai kepala
2. Syaitan mempunyai hati,telinga dan mulut
3. Syaitan mempunyai akal - Syaitan membantah apabila diperintahkan sujud kepada Nabi Adam kerana menggunakan logik akal merasakan dia lebih baik kejadiannya.
4. Syaitan mempunyai tangan - Nabi S.A.W memberitahu hendaklah kamu makan menggunakan tangan kanan kerana syaitan makan menggunakan tangan kiri.

Wallahua'lam

Ahad, September 06, 2009

Kuliah Subuh 16 Ramadhan 1430H

Lokasi : Surau Al-Fajr
Penceramah : Ust.Kama

Mengulas bagaimana syaitan menggoda manusia dengan menggunakan pelbagai pintu antaranya :

1. Pintu kemalasan :- Apabila manusia ingin beribadah kepada Allah S.W.T , syaitan datang kepada manusia dan mengatakan tak perlu beribadah dengan perasaan bermalas-malas
2. Pintu riak :-Apabila manusia berjaya menepis halangan syaitan di pintu pertama, syaitan datang kepada manusia dengan mengatakan kamu perlu rajin beribadah agar dipandang alim oleh orang ramai.
3. Pintu was-was :-Apabila manusia berjaya melalui halangan kedua,syaitan datang dengan menimbulkan perasaan was-was di hati manusia.
4. Pintu ujub:- Apabila melepasi halangan ketiga,syaitan datang dengan membawa perasaan ujub iaitu merasa hebat dengan amalan dan tidak dapat ditandingi oleh orang lain.

Wallahua'lam.